Thursday, January 17, 2008

PERSPEKTIF: KAMPUS MEDAN TERBAIK DEBAT POLITIK

Berita Harian – 29 September 2007

PERSPEKTIF: KAMPUS MEDAN TERBAIK DEBAT POLITIK

ISNIN lalu, Universiti Columbia di New York mengundang Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berceramah kepada sekumpulan pelajar dan pensyarahnya. Seperti dijangka, pelbagai pihak di Amerika Syarikat (AS) yang terpengaruh atau bersekongkol dengan Presiden Bush atau mempunyai kepentingan politik tertentu dan menuduh Ahmadinejad dengan perkara yang bukan-bukan mengecam penganjuran ceramah itu, malahan mendesak supaya ia dibatalkan.

Tetapi, ceramah itu tetap diadakan. Tidak mengapalah jika Presiden universiti itu, Lee Bollinger, memberikan ucapan pengenalan yang tidak sopan, manakala ucapan Ahmadinejad pula tidak sebaik yang disampaikannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada keesokan harinya.

Yang pentingnya ialah universiti itu berpegang teguh dengan kebebasan akademiknya dalam menganjurkan ceramah membabitkan pemimpin politik yang berhaluan bertentangan dan tidak tunduk kepada tekanan politik dari luar, manakala Ahmadinejad membuktikan keberaniannya berhadapan dengan mahasiswa, apalagi dalam keadaan yang diketahuinya akan menjadi panas baginya.

Peristiwa ini signifikan kerana kini ada sesetengah universiti kita takut mengundang dan membenarkan pemimpin pembangkang berucap di dalam kampus. Hanya sesekali ada universiti yang berani. Contohnya, pada Ogos 2003, Universiti Utara Malaysia (UUM) membenarkan sebuah forum mengenai pengurusan negara diadakan membabitkan pemimpin Pas, Datuk Husam Musa (ketika itu Ahli Parlimen Kubang Kerian) bersama pemimpin Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Nazri Aziz (ketika itu Menteri Pembangunan Usahawan). Di samping itu, tidak ramai pemimpin kerajaan berani berhadapan dengan mahasiswa. Sering kali mereka menolak undangan ataupun sekadar menghantar wakil.

Pada satu masa dulu, kampus adalah pentas perdebatan politik yang sihat membabitkan pemimpin kerajaan dan pembangkang. Contohnya ialah Debat Agung Ekonomi Universiti Malaya. Ia dianjurkan dan ahli panelnya dipilih mahasiswa. Kini, debat politik sedemikian amat jarang diadakan. Yang ada ialah forum membabitkan ahli panel yang sealiran saja. Lebih malang lagi, jika dulu, yang mempengerusikan debat politik itu ialah mahasiswa, tetapi hari ini, ia diambil alih oleh pensyarah. Mahasiswa hanya menjadi penonton kerana universiti menganggap mereka budak sekolah menengah tinggi saja.

Alasan untuk tidak membenarkan pemimpin pembangkang berucap di kampus ialah bimbang mahasiswa akan terpengaruh. Persoalannya, adakah mahasiswa semudah itu untuk dipengaruhi? Kalau begitu, jangan benarkan pemimpin pembangkang itu berucap seorang. Sebaliknya, adakan dalam bentuk debat. Undanglah pemimpin kerajaan untuk berdebat dengannya.

Kita perlu mempunyai kefahaman yang jelas mengenai politik. Kita jangan takut dengan bayang-bayang sehingga semua yang berkaitan dengan politik dianggap kotor dan semua yang berkaitan dengan pembangkang dianggap berbahaya.

Memang ada perbezaan antara politik dengan parti politik, antara isu politik dengan isu parti politik, antara politik kepartian dengan politik non-kepartian dan antara politik partisan dengan politik non-partisan. Ini hanyalah sebahagian daripada ilmu politik.
Ilmu politik adalah sebahagian daripada disiplin yang perlu didedahkan kepada mahasiswa. Ia memerlukan pendidikan politik.

Di sinilah relevannya debat politik itu. Adakah dinginnya kampus disebabkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), khususnya pindaannya pada 1975?

Tahun dari 1965 (atau menurut sesetengah pendapat, dari 1966 atau 1967) hingga 1974 dianggap sebagai zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara ini. Pada 1965 dianggap tahun bermulanya zaman itu berikutan transformasi peranan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) yang tidak lagi terbatas dalam bidang bahasa dan kesusasteraan saja, tetapi mula mencakupi perjuangan lebih luas hingga mencakupi bidang politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Program bersama masyarakat, seperti ceramah, forum dan diskusi mula dianjurkan. Mahasiswa mula berkecimpung dengan masalah penderitaan penoreh, petani dan nelayan. Kemiskinan mula menjadi isu utama yang diperjuangkan mahasiswa. PBMUM juga menentang konsep Malaysian Malaysia yang dikemukakan Lee Kuan Yew.

Pada 1966 pula diambil berasaskan fungsi Sudut Pidato (Speaker's Corner) yang ditubuhkan pada 27 Mei tahun itu. Ia penting kerana hampir semua demonstrasi selepas tarikh itu bermula dari situ. Sudut Pidato itu diberikan jolokan sebagai Hyde Park Malaysia. Di sanalah mahasiswa mengadakan dialog dan perbahasan mengenai pelbagai isu mengenai mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara dengan bebas. Pada Disember 1967, Kelab Sosialis ditubuhkan, iaitu pertubuhan politik pertama di kampus.

Ini menandakan bermulanya, untuk beberapa tahun, penguasaan mahasiswa beraliran sosialis di UM, misalnya, Syed Hamid Ali menjadi Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Sanusi Osman menjadi Presiden PBMUM pada tahun berkenaan dan kemudian diikuti pula oleh Hishamuddin Rais.

Jika ada perbezaan mengenai tahun permulaan zaman kemuncak gerakan mahasiswa, tetapi, dalam menentukan tahun akhirnya, pendapatnya adalah sama, iaitu 1974. Pada 1974 digunakan kerana selepas peristiwa demonstrasi Baling pada Disember tahun itu, iaitu demonstrasi terbesar dalam sejarah gerakan mahasiswa negara ini, pada 1975, pindaan dibuat terhadap AUKU dengan tujuan mengongkong gerakan mahasiswa. Selepas pindaan itu, jelas kelihatan berlaku perubahan yang besar iaitu gerakan mahasiswa mula lembap. Pendapat yang menyatakan bahawa tempoh dari 1965 hingga 1974 adalah zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara melihatnya dari segi tindakan mahasiswa yang bercorak politik.

Mohammed Abu Bakar (1973) dalam bukunya Mahasiswa Menggugat menulis, tindakan ini termasuklah: seminar dan diskusi mengenai pelbagai isu di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh politik dan pensyarah; resolusi bercorak politik dibentang dan dikeluarkan mahasiswa untuk tatapan umum dan kerajaan; penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka; demonstrasi di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan ideal perjuangan mereka; dan sesetengah mahasiswa memegang jawatan dalam parti politik seperti Parti Rakyat.

Kita tidak perlu kembali sepenuhnya ke zaman sebelum AUKU. Apa yang perlu ialah kita muhasabah kefahaman dan pemikiran mahasiswa hari ini mengenai politik.

Dalam konteks ini, petunjuk terpenting ialah pilihan raya kampus. Mutakhir ini, ada begitu banyak kerusi yang dimenangi tanpa bertanding, malahan ada beberapa universiti yang semua kerusi dimenangi tanpa bertanding. Adakah menang tanpa bertanding begini sesuatu yang baik? Adakah tindakan sesetengah pemimpin universiti yang boleh dipersoalkan dari segi keadilan dan kesaksamaannya dalam pelaksanaan pilihan raya kampus sesuatu yang baik?
Adakah perlumbaan dan keseronokan sesetengah pemimpin universiti mengumumkan kemenangan besar calon yang dikatakan prokerajaan sesuatu yang baik? Adakah semua ini berlaku akibat universiti dipengaruhi atau ditekan oleh pihak lain? Adakah keadaan begini kondusif untuk kita melahirkan universiti bertaraf dunia?

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002)
gempursiswa terfikir bagaimana agaknya mahasiswa bakal menghadapi pilihanraya umum jika mereka kurang pendedahan di peringkat kampus. Malahan mahasiswa diajar ketika kampus jangan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti politik [sebenarnya ditujukan buat parti pembangkang sahaja].